Tuesday, December 1, 2015

Sinopsis Di Bawah Lindungan Ka'bah

Buya Hamka telah menggarap dengan cermat dan halus kisah seorang pemuda yang hidupnya tidak beruntung dalam novel Di Bawah Lindungan Ka’bah. Pemuda bernama Hamid hidup melarat bersama ibunda yang sudah lanjut usianya sejak berumur 4 tahun. Setelah kematian ayahandanya, mereka hidup bergantung harap dengan orang kaya negeri Padang, Tuan Haji Ja’afar. Sedari itu, tertunai cita-cita arwah ayahanda Hamid mahu melihat Hamid disekolahkan, menjadi orang terpandai berilmu pengetahuan.

Bermula dari situ juga, Hamid berkenal-kenalan dengan suri hidup Tuan Haji Ja’afar dan Mak Asiah yang bernama Zainab. Menurut adat keturunan Haji Ja’afar, setelah tamat diploma, anak perempuannya haruslah menjadi pingitan; terpisah daripada pandangan ajnabi yang lain. Hamid pula memilih jalan mahu mendalami agama di Padang Panjang dan Bukit Tinggi. Dek kerana itu, terputuslah hubungan Hamid dan Zainab hampir setahun lamanya.

Beberapa lama kemudian, khabar buruk datang menyinggah. Kematian Haji Ja’afar menggemparkan seluruh negeri. Bertimpa-timpa pula musibah yang hadir apabila ibunda Hamid meninggalkan dunia yang fana ini, namun sempat beliau berpesan kepada Hamid bahawasanya sungguh jauh beza darjat ‘orang kebanyakan’ dengan ‘cabang atas’ seperti beza emas dengan loyang. Kerabat dan kemenakan Haji Ja’afar dari Medan pula menyatakan hasrat mahu menyunting Zainab. Melihat kepada keakraban Hamid dan Zainab ketika zaman kecil mereka, maka Mak Asiah meminta pertolongan daripada Hamid untuk melunakkan hati Zainab untuk bersuami tetapi usaha tersebut tidak berhasil.

Maka berangkatlah Hamid menjelahi samudra luas kerana bimbang hatinya akan tertaut kepada keelokan budi Zainab sehingga akhirnya sampai beliau di Mekah. Setahun berlalu dan seorang sahabat sekampung Hamid tiba di Mekah untuk menunaikan haji. Sahabat yang bernama Saleh menyampaikan berita-berita daripada isterinya, Rosnah yang merupakan sahabat karib Zainab. Rupa-rupanya, meskipun bertahun ditinggalkan Hamid tanpa sebarang berita, Zainab masih lagi menaruh cintanya kepada Hamid. Maka ketahuilah akan Hamid bahawa cintanya kepada Zainab berbalas tetapi alangkah malangnya perasaan kedua-dua mereka. Walaupun perasaan mereka bersatu, namun jasad mereka terpisah beribu batu.

Tanggal kelapan Muharam, Hamid jatuh sakit diikuti pula Zainab di Padang. Hamid demikian berhasil menyempurnakan ibadah wuquf, jamrah dan mabit di Mina. Sekembalinya ke Mekah, surat daripada Rosnah tiba, mengatakan sudah bercerai jiwa Zainab dengan dunia. Saleh pada awalnya agak berat melepaskan berita kepada Hamid mengenai pemergian Zainab tetapi akhirnya diberitahu juga. Dengan segera Hamid menyuruh Arab Badwi memandunya ke multazam dan melekatkan dirinya pada kiswah Ka’bah. Di bawah lindungan Ka’bah, Hamid menyusuli Zainab menuju Penciptanya.

No comments:

Post a Comment