Catatan Perkongsian Abg Khairul Anwar Ismail
Naib Presiden ABIM
Bedah Buku: Radicals: Resistance And Protest in Colonial
Malaya
Program last-last minute ABIM akhirnya jadi realiti. Terima
kasih kepada penggerak-penggerak ABIM di Mansoura yang membawakan Abg Khairul
Anwar sementara keberadaannya di Mesir. Orangnya hebat, berwawasan jauh, tak
lokek berkongsi ilmu dan setia menjawab hadirin yang hadir. Kehadiran tak ramai
tak apa, asalkan kualiti perbincangan tip-top meletop. Untuk sesetengah orang,
program bedah buku tidak semuanya boleh menghadam. Aku sendiri tidak juga mampu
menghadamkan segala isi dan mesej-mesej daripada buku ‘Radicals: Resistance And
Protest in Colonial Malaya” secara menyeluruh. Tetapi, ternyata program-program
sebegini pun mampu membangkitkan jiwa-jiwa yang lemah dengan menyuruh kita
bermuhasabah melihat sejarah perjuangan orang-orang lama.
Program bermula pukul 7 malam dan aku hadir lambat ke
perkumpulan di Academic Centre MM. Jadi, sedikit catatan telah aku buat seputar
pembentangan Abg Khairul Anwar dan persoalan-persoalan daripada hadirin yang
hadir.
Dalam buku yang dibedah telah mengangkat sosok tokoh
pra-kemerdekaan Tanah Melayu, Dr. Burhanuddin al-Helmy. Diceritakan latar
belakang Burhanuddin al-Helmy sebagai seorang yang mempunyai asas pendidikan
agama yang kukuh. Belau menghafal Al-Quran sejak kecil. Beliau juga mempunyai
latar pendidikan tinggi yang mengagumkan. Beliau mempunyai pHD dalam satu
bidang dan seterusnya menyambung dalam ijazah doktor perubatan. Abg Khairul
Anwar menunjukkan sisi pendidikan yang padu pada Dr Burhanuddin sehingga dapat
membentuk sebuah kerangka kemerdekaan beliau, jauh lebih awal sebelum usaha kemerdekaan
yang dimulai Tunku. Sepatutnya, orang-orang yang telah menyediakan asas
kefahaman tentang kemerdekaan dalam masyarakat ini lah diberikan credit
atas usaha-usaha mereka.
Seawal perbincangan ini, ditekankan perihal radikal yang
positif dan tradisinya. Masyarakat dahulu menggunakan penulisan sebagai medium
menyuarakan pandangan mereka. Radikal dari segi idea ini boleh kita kelaskan
sebagai radikal yang positif. Ahli masyarakat lampau menulis komentar tentang
pemikiran orang lain dalam penulisan. Sebagai contoh, Ibn Rushd memberi
komentar terhdapa Tahafut al-Falasifah karya Imam Ghazali dengan menghasilkan
karya beliau yang diberi nama Tahafut al-Tahafut. Tradisi ini akhirnya
menguntungkan kita sebagai orang di zaman kemudian kerana kita boleh memahami
kerangka pemikiran Imam Ghazali dan Ibnu Rushd.
Abg Khairul juga menyentuh tentang radikal yang positif ini
pada zaman Burhanudin al-Helmy sekitar tahun 1930-an. Pada awalnya berlaku
pertentangan idea antara Kaum Muda dan Kaum Tua. Pada waktu itu, masyarakat
memandang Kaum Muda yang dipimpin Burhanudin al-Hemy sebagai kumpulan yang
menyalahi adat dan radikal dalam tindakan. Masyarakat ketika itu tidak juga
memandang mereka sebagai kumpulan yang progresif meskipun usaha-usaha mereka
menuju kepada perubahan-perubahan rakyat bagi mempersiapkan diri melawan
penjajah. Zaman berlalu dan akhirnya sejarah mencatatkan bahawa Kaum Muda telah
berjaya menanam idea-idea progresif. Dari sini menunjukkan bagaimana idea yang radikal
itu mampu menjadi progresif akhirnya.
Pemikiran Burhanudin al-Helmy mengenai kerosakan umat melayu
hampir senada dengan apa yang dibawa oleh Prof Syed Naqib al-Attas dalam
bukunya ‘Islam dan Sekularisme’. Dr Burhanudin menyebut beberapa punca
kerosakan umat melayu. Antaranya ialah, kemunduran pemimpin. Masalah dalam umat
melayu ini ialah, mereka yang bagus untuk memimpin tidak mahu memimpin dan
akhirnya menyebabkan orang-orang jahil memegang kuasa pemerintahan. Punca yang
lain ialah kemunduran ulama’. Sepatutnya ulama’ berperanan sebagai ejen perubah
masyarakat. Dalam al-Quran juga disebut:
"Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam agama dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berperang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).” (At-Taubah 9:122)
Menjadi fungsi ulama’ itu untuk memberi peringatan (inzar)
kepada kaumnya. Melihatkan kepada realiti yang berlaku di seluruh dunia, baik
di Malaysia ataupun Mesir, ulama’ masih belum berfungsi secara holistik dalam
masyarakat. Kalau betul Al-Azhar menjadi pusat keilmuan Islam, mana mungkin
sampah berterabur di kawasan sekitar; mana mungkin juga orang-orang Islam di
situ sanggup membuang air kecil di dinding-dinding tempat awam sehingga
menimbulkan bau yang tak menyenangkan. Ulama’ juga menjadi komponen yang
menasihati pemerintah dan simbol perpaduan masyarakat.
Kemudian, Dr Burhanudin al-Helmy juga menyatakan perpecahan
menjadi punca kerosakan umat manusia. Sejak zaman British, bangsa kita selalu
bergaduh dan tidak bersama-sama. Blok Kaum Tua yang tidak boleh bekerjasama
dalam hal ehwal masyarakat membuatkan bangsa kita ditindas penjajah. Dalam
berbeza pendapat, paling penting untuk tidak mencemuh dan memperlekehkan usaha-usaha
yang dilakukan kumpulan yang lain. Dalam sesi soal jawab juga disertakan
pendapat Abg Khairul Anwar mengenai isu berbilang Jemaah atau persatuan. Contoh
yang diberi ialah penubuhan kumpulan yang menjaga kebajikan gelandangan di
Kuala Lumpur. Mana-mana kumpulan yang lebih besar dan sudah established tak
perlu mengharapkan kumpulan yang memberi makan gelandangan untuk melakukan
gerak kerja yang lebih besar. Sepatutnya, kumpulan yang lebih besar di Kuala
Lumpur membantu kumpulan minor itu dari segi sumbangan tenaga kerja atau
kewangan. Barulah semangat taadud dalam Jemaah itu dapat dirasai manisnya.
Selain itu, umat melayu sangat tinggi pergantungannya kepada bangsa penjajah dan asing. Abu Hassan al-Nadwi juga menyebut dalam buku beliau ‘Maza khasiral ‘alam bi inhitatil muslimin’ bahawa umat Islam secara keseluruhannya suka menjadi pengguna dalam rantaian ekonomi global. Hal ini lah menjadikan umat kita tidak pernah maju daripada bangsa asing.
Sebelum tidur pula sempat aku berkira-kira.
Agak-agak kau nak ubah orang-orang sekeliling kau, kau sendiri pun belum berubah, Syahmi.
No comments:
Post a Comment