Kembali menulis setelah beberapa lama tawaquf. Sebenarnya,
hari ini bangun-bangun pagi asyik terbersin. Mungkin alamat nak demam sempena
musim sejuk. Alang-alang dah duduk terperap dalam bilik, hati rasa rugi pula
kalau masa yang ada diisi dengan baring berbalut selimut dan saratoga. Jadi
hari ini nak coret-coret sikit berkenaan perkongsian program yang telah
berlangsung seminggu yang lepas.
Alhamdulillah program Mars vs Venus anjuran Exco Dakwah dan
Tarbiah MedicMesir telah mendapat sambutan yang memberangsangkan. Pada awalnya,
aku hanya menjangkakan kehadiran lelaki ke program ini hanya sedikit; mungkin
lebih kurang ¼ daripada jumlah peserta. Namun gayanya, kehadiran lelaki dan
perempuan nampak seimbang.
Program membawakan penulis buku ‘Maryam Anak Syurga’, Kak
Ruqayyah Farhani dan Abg Abdullah Mubarak (Alak). Masing-masing baru berumur 22
dan 23 tahun ye. Muda lagiii. Rezeki Allah aturkan buat mereka, sekarang sudah
berumahtangga dan mempunyai seorang anak perempuan bernama Marsya Farihah.
Bagi sesiapa yang mengikuti perkembangan Facebook, kisah Kak
Ruqayyah dan Abg Alak sudah jadi viral. Ummi aku pun tahu cerita ini. Alkisah cabaran
dalam perkahwinan Abg Alak dan Kak Ruqayyah serta kematian salah seorang
daripada anak kembar mereka bernama Maryam Farihah. Anak kembar mereka lahir
pra-matang dan dalam keadaan di mana Abg Alak masih meneruskan pengajian di
Al-Azhar manakala Kak Ruqayyah terpisah di Malaysia. Nak tahu lebih-lebih, kena
belilah buku Maryam Anak Syurga cetakan PTS. Masih panas, baru release
bulan September 2015 hari tu.
Dalam program Mars vs Venus, aku menjadi moderator majlis.
Program malam itu dipecahkan kepada 3 perbincangan teras. Yang pertama
berkenaan buku Maryam Anak Syurga. Kami diceritakan serba ringkas mengenai
catatan kehidupan Abg Alak dan Kak Ruqayyah yang dibukukan. Menariknya,
catatan-catatan mereka diinspirasikan daripada naqib Abg Alak yang menyuruh
untuk dicatat peristiwa sepanjang pengajian di Mesir. Lagi menurut Abg Alak,
catatan yang dibuat selepas sesuatu peristiwa lagi mendalam makna dan
penghayatannya kalau disbanding catatan yang dibuat selepas beberapa ketika.
Kadang-kadang tak semua perincian dapat kita ingat semula.
Yang kedua, perbincangan tertumpu kepada aspek pergaulan
lelaki dan perempuan. Kalau bahasa islamiknya ikhwah dan akhawat. Perkongsian
daripada Abg Alak dan Kak Ruqayyah sangat cermat dan cantik dalam menyusun
kata. Menurut mereka, tajuk mengenai ikhtilat ini sensitif lagi-lagi di Mesir.
Asas kepada ikhtilat itu rapuh dan subjektif bergantung kepada individu.
Apa-apa pun persoalan mengenai ikhtilat akhirnya berbalik kepada individu itu
sendiri. Itu sebab sepanjang perbincangan berjalan, mereka sangat menekankan
nilai iman dan taqwa.
Sekali-sekali disentuh oleh Kak Ruqayyah mengenai sifat malu
yang lahir daripada iman dan taqwa yang mantap kepada Allah. Daripada
ketiga-tiga sifat ini, terbinalah pagar yang akan menjadi pemisah daripada
terjerumus ke dalam iktilat. Kemudian aku tersentak sekejap apabila dikatakan,
untuk terjebak atau menjauh daripada ikhtilat bergantung kepada prinsip
masing-masing. Aku juga menambah di akhir pusingan ini, prinsip yang ada dalam
diri individu adalah berdasarkan kefahaman seseorang. Satu orang tidak boleh
meletakkan standard prinsip untuk diikuti oleh orang lain. Berdasarkan kefahaman
dan melalui pengkajian, barulah akan terbit prinsip yang kukuh. Yang paling
penting, setiap prinsip yang tumbuh itu harus dipandu dengan wahyu dan iman.
Oke, silent moment untuk masing-masing tepuk dada tanya iman deh.
Dalam pusingan ketiga, perbincangan menjerumus kepada pengurusan
rumah tangga. Haha, ini paling menarik la agaknya. Sebab itu aku memang jangka
penyertaan perempuan lagi ramai daripada lelaki. Bila bab kahwin awal dan
baitul muslim ini, kebanyakan lelaki tak berapa minat, termasuklah aku. Jadi,
aku cadangkan kepada penganjur untuk membawa konsep yang menyanggah teori-teori
fantasi sebelum kahwin. Sepanjang pusingan ini, Abg Alak dan Kak Ruqayyah
selalu sebut mengenai cabaran-cabaran selepas kahwin.
Sewaktu mendapat perkhabaran bahawa Kak Ruqayyah mengandung
anak kembar, mereka membayangkan keindahan membesarkan kedua-dua bakal anak
kembar mereka. Tetapi, Allah lebih sayangkan Maryam dan diambil semula Maryam
yang telah dipinjamkan seketika buat Kak Ruqayyah. Ketika ini, hadirin semua
senyap seribu bahasa apabila mendengar sendiri cerita daripada empunya badan.
Berat bagi sesiapa yang menanggung bebanan itu. Kita yang belum merasa hamper-hampir
menitiskan air mata.
Namun kata Abg Alak dan kak Ruqayyah, hidup sebagai hamba,
kita kena selalu mencari hikmah di sebalik setiap musibah. Pada saat musibah
hadir, kita mungkin tidak mengerti perancangan Allah. Tetapi beberapa lama
kemudian, setelah kita menjumpai hikmah yang tersembunyi, baru kita sedar
betapa lemah sangat kita ini dan terbatas pengetahuan kita. Dalam kisah
kematian Maryam itu, barulah mereka faham yang sebenarnya mungkin sahaja Maryam
pergi kerana Abg Alak dan Kak Ruqayyah masih belum bersedia. Anak yang seorang
mahu dijaga pun sudah tidak tidur malam, inikan pula anak kembar yang
tanggungjawabnya sudah tentu berkali-kali lebih berat.
Masuk pula bab pengurusan kewangan. Bab ini memang menjadi
minat kaum lelaki pula kerana secara psikologinya, lelaki terutamanya aku tak
suka sangat nak layan-layan isu berkaitan jodoh. Lelaki kalau ada program
berkenaan praktikal survival untuk kehidupan mesti akan ramai. Discourse mengenai
intelektual kebanyakannya lelaki juga yang hadir. Tetapi pesan penl, jangan pandang sebelah mata ilmu-ilmu pra-perkahwinan ini. Apa-apa pun berbalik kepada
hikmah, mesti kita akan perasan betapa seimbang dan indahnya Allah ciptakan
penghuni bumi yang terdiri daripada lelaki dan perempuan. Walaupun berbeza pola
pemikiran, tetap kedua-duanya diciptakan Allah untuk mengisi kelemahan
masing-masing.
Pengurusan kewangan ini adalah perkongsian Abg Alak yang
juga minat dalam bidang perniagaan. Perniagaan kereta sewa beliau diuruskan
seorang kawan di Malaysia. Terlalu banyak praktikal dan teknik-teknik yang
diajarkan kepada yang hadir. Ah, rugi kalau tak datang. Hehe. Kemudian, sempat
juga Abg Alak kata dalam perkongsian beliau bahawa, kadang-kadang si lelaki
terlalu risau bab kewangan sehingga lupa yang persediaan diri sendiri adalah
jauh lebih penting. Sempurnakan amal fardhi dahulu sebelum melangkah ke alam rumahtangga.
Ouch, kan dah kena sebiji. xP
No comments:
Post a Comment