Hari ini lain. Boleh rasa kelainannya. Terjaga dari tidur 2-3 minit sebelum alarm berbunyi. Berdiri, ruku' dan sujud merendah diri kepada Penguasa Alam. Merasa hina diri ini setelah sekian lama sombong dan angkuh dalam kehidupan. Meskipun aku tahu, betapa banyak dosa aku yang dikumpul, namun diri masih enggan untuk akui silap dan salah masa lalu.
Usai menghinakan diri, aku mencapai Kalam Tuhan. Kitab ini juga aku terbiarkan di sudut meja. Mungkin sesekali berubah tempat dan kubaca, tapi bahagiannya masih sedikit jika dibandingkan dengan buku-buku pelajaran yang bertimbun banyaknya. Kalau aku sendiri menjadi Tuhan "Buku pelajaran boleh ditelaah, Kitab Aku sendiri seminggu sekali untuk dibelek pun liat". Namun aku tahu, pencipta rasa kasih mana mungkin terbatas rahmat dan ihsan-Nya. Atas sebab inilah aku rasa, aku dibenar dan diizin untuk hidup. Untuk bertaubat dan kembali.
Sentak aku ketika membaca ayat 105 Surah An-Nisa'. perihal perbuatan nabi yang hampir membela perlakuan khianat Tu'mah terhadap Yahudi lalu ditegur terus oleh Allah. Lagi sentak bila sampai ayat 109 dan 110 seolah-olah merasa ditegur juga oleh-Nya:
"Sedarlah! Kamu berdebat untuk (membela) mereka dalam kehidupan dunia ini, tetapi siapa yang akan menentang Allah untuk (membela) mereka pada hari Kiamat? Atau siapakah yang menjadi pelindung mereka (terhadap azab Allah)?
Dan barangsiapa berbuat kejahatan dan menganiaya dirinya, kemudian dia memohon ampunan kepada Allah, nescaya dia akan mendapati Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang."
Diri ini merasa, atas berapa banyak nikmat yang diberi Allah dalam bentuk bicara yang petah, berapa kali pula aku gunakan untuk kebaikan? Mungkin aku boleh berdebat dan mematahkan hujah manusia, tetapi aku tak pernah ingat, di akhirat nanti, aku dan kita sendiri dikunci bicara. Namun Allah tetap memberikan harapan. Atas segenap dosa kita yang menggunung, masih ada sinar ampunan buat manusia yang mahu kembali. Kerana Dia lah yang Maha Pengampun, Maha Penyayang.
Banyak-banyakkan memohon hidayah dan taufik yang berterusan. Selama ini, beberapa kali aku tersungkur dalam lubang maksiat yang sama. Kemudian meminta untuk diampuni. Kemudian tersungkur lagi sehingga hampir-hampir putus asa daripada ampunan Allah. Mungkin hari ini aku sedar, aku selalu memohon diampunkan dosa tetapi terlupa memohon agar ditetapkan hati dalam iman dan jalan kebenaran. Hidayah dan taufik dari Allah jualah yang memandu hidup kita, yang menetapkan hati supaya teguh dan tidak tersungkur untuk kesekian kalinya.
No comments:
Post a Comment