Sunday, January 31, 2016

Jaulah Matruh-Siwa (Part 1)

Saat menulis entri ini, aku mengunyah kurma bersalut coklat dari Siwa. Sedapnya ya ampunn! Haha.

Pengalaman ke Kota Matruh dan Kota Siwa selama 3 hari benar-benar memberi makna yang cukup banyak. Dari segi sejarah ketamadunan Mesir Lama sehingga perihal budaya masyarakat setempat, aku dapat perhatikan dan pelajari. Itu baru sahaja dua kota dalam sekian banyak kota di Mesir. Benarlah apabila Mesir dijuluki dengan gelaran Ummu Dunya (Ibu Dunia) – dan kami warga Malaysia menambah “…wa Malizia abuuha! (dan Malaysia bapanya)” -- ni untuk melawak dengan orang Arab je.

Perjalanan ke Kota Matruh selepas tengah malam pada 28/1 mengambil masa lebih kurang 9 jam. Matruh ini bandarnya lebih maju sedikit berbanding Mansoura, mungkin boleh dinisbahkan sebagai Alexandria 2 (ada traffic light weh!). Populasi penduduk di sana sekitar 3,000 jiwa dan ketika keberadaan kami, Kota Matruh hampir-hampir lengang daripada pengunjung. Kota Matruh ini terletak dalam daerah Marsa Matruh.

Kebiasaannya, pelancong akan berkunjung ke sini pada musim panas kerana Matruh terkenal dengan gelaran “Bandar Seribu Pantai”. Tempat letaknya adalah di utara Mesir dan berhadapan Laut Mediterranean menjadikan pantai-pantai di Matruh tarikan utama pelancong. Aktiviti di pantai-pantainya juga lebih meriah ketika musim panas. Yelaa, siapa yang mahu mandi pantai ketika waktu sejuk 10°C?

Bahr Ageeba (Pantai Ajaib) dinamakan sedemikian kerana menurut kata orang, lautan dan pantainya akan berubah warna kepada warna seakan-akan pelangi apabila senja tiba. Bahr Abyadh (Pantai Putih) pula terkenal dengan keputihan pasir yang halus. Tetapi, apabila mahu bermain air di kedua pantai ini harus dijaga aspek keselamatannya. Ada sahaja dalam laut yang terus menjerumus ke dalam rekahan yang tidak disedari.

Selain daripada keindahan panorama lautan yang terbentang, Kota Matruh juga kaya dengan khazanah sejarah. Menurut catatan Mesir Kuno, kedua-dua kota ini sering menjadi persinggahan Ratu Mesir, Cleopatra, sekitar 50 BC. Kota Matruh didirikan istananya untuk didiami Cleopatra dan Marc Anthony. Sedangkan di Siwa menjadi tempat persinggahan Cleopatra untuk memanjakan diri. Di Bahr Cleopatra (Pantai Cleopatra) terdapat seketul batu berbentuk petak, didirikan sedikit jauh daripada pantai, ke arah laut, yang dinamakan Hamam (baca: tandas) Cleopatra.

Di dalam Hamam Cleopatra terdapat dua pintu yang ditebuk menembusi batu, yang mengalirkan air laut. Kiranya, di dalam batu itu seolah-olah menjadi jakuzi milik eksklusif Cleopatra seorang. Namun, tidak pantas seorang ratu menggunakan air laut untuk bermandi-manda. Air yang digunakan oleh Cleopatra diambil daripada mata air di Siwa, yang kini digelar Uyun Cleopatra, kira-kira 300km dari Matruh.


Cukup lah sedikit entri berkenaan Kota Matruh. Nak ditulis dalam perkataan tentang keindahan kota ini, susah. Lebih baik lah dikongsikan sahaja gambar-gambar disekitar Matruh. Selepas ini, lebih banyak lagi tempat bersejarah yang menarik di Siwa. 

Bahr Cleopatra. Gambar diambil dari atas rekahan lautan.
Di hadapan patung Cleopatra di Bahr Cleopatra. Pada topi Cleopatra terdapat ukiran ular, simbolik bahawa Cleopatra mati dipatuk ular.

Hamam Cleopatra. Kalaulah tandas sebegini jauh, mahunya Cleopatra mandi seminggu sekali.
Gambar di dalam Hamam Cleopatra (sisi kanan). Diambil di pintu masuk. 

Gambar di dalam Hamam Cleopatra (sisi kiri). Diambil di pintu masuk.

Gambar dari dalam Hamam Cleopatra (bahagian atas).


Bahr Ageeba. Yang dalam laut, warna hitam tu jangan main-main. Tu lubang yang tidak berpenghujung. Huhu. 
Abang payung gambar Bahr Ageeba lagi.
Bahr Abyadh. Style tangan 'peace' dengan 'thumbs up' jelaa paling common.

Bahr Abyadh (Pantai Putih). Fail la gambar ni. Pfft.



No comments:

Post a Comment