Apabila kita selalu bicara kebaikan seseorang, secara tak
langsung perasaan sayang akan bertamu dalam hati. Sepertimana kita selalu
bercerita kisah kehidupan Nabi Muhammad pada kawan-kawan dan kenalan, pasti
diri kita tertarik dengan keelokan peribadi baginda meskipun tidak pernah
bertemu mata. Juga apabila kta bercerita soal kebesaran Allah, tentunya akan
merasa diri ini hina di sisi-Nya.
Begitu juga perihal Abah. Malam kelmarin aku keluar berdua bersama
teman. Dalam panjang perbualan kami itu, kami bercerita tentang ayah kami
masing-masing. Kawan aku itu mempunyai seorang ayah dan dua orang ibu. Dia
dilahirkan bongsu dalam keluarga isteri pertama. Dia bercerita sisi pahit ibunya apabila dimadukan. Lanjut perbualan itu, akhirnya kata-kataku
menyebut-nyebut kebaikan Abah aku. Satu-satu kenangan dengan Abah singgah dalam ingatan sehingga terbawa-bawa sebelum tidur.
Jujurnya, aku dengan Abah agak kekok berbual soal perasaan dan aktiviti harian aku.
Topik itu biasanya dikendalikan Ummi dan hampir kesemua cerita tentang perasaan
(stress dll) diceritakan kepada Ummi. Dengan Abah, selalunya kami berborak soal
politik, ekonomi ataupun mengulas ustaz yang baru sebentar memberi ceramah di
surau. Topik-topik yang memang dipandang berat oleh orang, selalunya aku dengan
Abah dapat borak-borak dengan rancak terutamanya tentang politik.
Biasalah, Abah aku ‘hijau’. Hahaha.
Baiknya Abah adalah apabila aku dapat merasai keberadaannya di rumah.
Dulu-dulu sewaktu aku kecil, Abah selalu ajak pergi surau. Aku pula anak sulung;
kalau duduk rumah tiada orang nak diajak bermain. Eloklah pergi surau, ada ramai
kawan. Lepas solat Maghrib, Abah ajar kami adik-beradik mengaji di rumah. Masa
itu adik perempuan aku, Sarah pandai mengaji dan suara dia sedap. Aku ingat
lagi, setiap kali pulang ke kampung Abah di Terengganu, Tok Ki dan Tok (Wan)
puji bacaan al-Quran Sarah. Ada la sikit jealous tu. Hoho.
Abah ada kefahaman agama juga. Ummi kata, Abah sewaktu di universiti
kurang bacaan mengajinya. Maksudnya, bacaan Abah tidak berapa lancar. Tapi
yang pelik, Abah ajar kami semua daripada kecil mengaji al-Quran OK je. Memang
lah tidak sempurna, mana ada manusia yang sempurna. Tapi, Abah pernah jadi imam
terawih di surau kawasan Shah Alam kot. Shah Alam ini orangnya agak vokal. Wakil
rakyat PKR datang surau pun boleh kena ‘bash’ sebab stesen bas Shah Alam masih
kuno. Inikan pula kalau imam baca tak sedap, memang terus kena tukar imam. Apa-apa
pun, aku rasa Abah berusaha keras untuk memperbaiki tajwid dan bacaannya.
Barangkali sejak daripada universiti.
Selain didikan agama, aku agak kagum dengan Abah yang selalu
tolong Ummi. Abah jarang masak di dapur. Sampai sekarang aku rasa memang Abah
tak pandai masak (hehe). Tapi baiknya Abah, selepas Ummi masak, Abah akan basuh
pinggan mangkuk. Setiap pagi sebelum pergi sekolah, Ummi buat sarapan dan Abah
gosok (iron) baju. Setiap hari Ahad, Abah akan beli barang-barang basah buat
bekal seminggu kemudian. Kadang-kadang Abah ajak aku ikut sekali. Katanya, aku
kena kenal tempat biasa Abah beli ikan dan sayur. Aku pun kena pandai cakap loghat Terengganu, baru boleh dapat diskaun beli ikan di pasar. Haa,
ini juga perangai Abah aku; kuat tawar-menawar. Kadang-kadang aku rasa, aku dah
ikut perangai Abah kalau dalam bab tawar-menawar ini.
Abah pun kadang-kadang sweet juga. Ada satu hari, Ummi bawa
balik bunga rosmah dari pejabat. Rupa-rupanya hadiah wedding anniversary. Abah
dengan Ummi kahwin 13 Mei 1994 dan Abah pernah cakap “sebab itu asyik bergaduh
je”. Tapi, sweet Abah jarang tunjuk di rumah. Aku cuma tahu yang sebenarnya
Abah itu sweet tanpa bukti kukuh. Alaa yelaa, dah tolong basuh pinggan, gosok
baju dan pergi pasar itu pun bukti juga.
Sebelum aku terbang ke Mesir, aku agak keberatan sebenarnya
kerana memikirkan perbelanjaan sepanjang di Mesir yang akan Abah dan Ummi tanggung. Aku
anak sulung dan di bawah aku masih ada lagi 4 orang adik yang bersekolah.
Faktor kewangan itu menjadi kerisauan aku. Kerisauan itu aku tanyakan pada Abah
beberapa minggu sebelum aku berangkat. Kata Abah, “Duit itu jangan risau. Abah
bekerja memang untuk Syahmi dan adik-adik pun”. Sepatah ayat itu aku ingat buat
jadi azimat.
Kadang-kadang kita kena sedar, tak semestinya kasih sayang seseorang
kepada kita terzahir melalui kata-kata. Banyak aku belajar daripada Abah. Abah
pesan, “Belajar betul-betul. Dah ada duit nanti bawa Ummi pergi jalan-jalan.
Buat umrah ke”. Lama kemudian baru aku perasaan, sayangnya seorang Abah itu
tidak terbatas. Boleh sahaja Abah minta untuk dibawanya berjalan dengan gaji
pertama aku nanti, tetapi mungkin Abah lebih bahagia apabila anak-anaknya
membahagiakan hidup Ummi mereka.
Aku percaya, masing-masing juga mempunyai ayah yang pelbagai
ragamnya. Janganlah kita letakkan standard untuk ayah yang kita mahu. Ayah atau
Abah yang kita sudah miliki ini sudah sepatutnya menjadi sebab yang kuat untuk kita
bersyukur kepada Allah. Jangan banding-bandingkan ayah kita dengan ayah jiran umpamanya. Kita kena ingat, setiap manusia ada lebih, ada kurangnya; ada baik, ada buruknya.
Selama mana kita hidup, kita tidak akan pernah tahu penat Abah macam mana. Kita tak akan
pernah tahu apa yang sering Abah fikirkan. Kita juga jarang tahu, berapa
simpanan Abah dan apa yang dia makan sewaktu rehat tengah hari di tempat kerja.
Kita perlu lama mentelaah baru kita dapat rasa kasih-sayang seorang ayah.
Inipun selepas 20 tahun hidup, baru aku rasa besarnya sayang Abah kepada kami semua sehingga dapat kami sekeluarga menumpang berteduh di dalamnya.
Tulisan ini bukan mahu berbangga tentang seorang Abah yang
Allah beri pinjam kepada aku. Tetapi tulisan ini lebih kepada seruan untuk
bersyukur kerana berpeluang merasai kasih-sayang seorang Abah. Ada sesetengah
daripada kita tidak mempunyai peluang yang sama. Kadang-kadang, ada juga yang
tidak pernah menatap wajah ayah mereka melainkan melalui gambar-gambar yang
dibingkai cantik.
Walau bagaimanapun, kita sebagai lelaki akan melalui
pengalaman itu. Pengalaman sebagai suami dan bapa. Ketika tiba masa itu, aku
tahu bahawa aku ada Abah sebagai contoh. Bagi sesiapa yang tidak
berpeluang bersama ayah mereka, jangan bersedih, sekurang-kurangnya kalian
masih ada Nabi Muhammad sebagai panduan. Baginda jualah contoh ikutan terbaik
sepanjang zaman.
Salam Maulidur Rasul.
Segala puji bagi Allah yang meminjamkan Abah.
Terima kasih Abah dan semua ayah di seluruh dunia.