Sunday, November 1, 2015

Antara Dua Dosa

Couple dan mengumpat, kedua-duanya adalah dosa. Kita tidak boleh nafikan. Dalam hidup bermasyarakat, kita sering melihat dunia berdasarkan sisi pandang pihak kita. Dalam bab dosa-pahala juga begitu. Bukanlah nak memburukkan mana-mana pihak, tapi kita sering lupa yang kita sendiri selalu juga berbuat dosa tanpa sedar.

Aku sedar, bukan bidang aku berbicara soal hukum. Cuma melalui pemerhatian, kekadang aku sedih bila manusia lihat kejahatan dalam skop yang sempit. Kekadang manusia lihat kejahatan pada orang lain; bukan pada dirinya. Contoh yang paling dekat dengan kita, isu couple. Masalah sosial lelaki dan perempuan yang tak pernah akan habis selagi mana nafsu itu wujud. Kerana kemampuan manusia mengekang nafsu masing-masing itu berbeza. Yang punya kefahaman agama, nafsunya tertambat dan yang kurang kefahamannya pula nafsunya meliar.

Umum tahu, berpacaran itu dosa. Sesetengah ulama’ pula mengharamkan apa jua jalan yang menuju zina atas dasar mahu menutup pintu kejahatan. Berdasarkan ayat, “..dan janganlah kamu mendekati zina. Sesungguhnya ia buruk dan adalah seburuk-buruk jalan.”

Namun, dalam menghukum sesuatu ke atas orang lain, perlu juga untuk refleksi pada diri.

Mengumpat juga berkongsi tahap dosa yang sama seperti orang-orang yang mendekati zina. Menceritakan aib atau sesuatu perkara berkenaan saudara Muslim yang lain tanpa relanya adalah perkara munkar yang ditegah oleh nabi S.A.W. Dalam hadis nabi diriwayatkan bahawa orang yang mengumpat disamakan seperti memakan daging saudaranya sendiri.

Melihatkan kedua-dua hal ini, aku hairan sikap setengah-setengah manusia yang membenci satu dosa tetapi membiarkan dirinya terpalit dosa yang lain. Membenci 2 manusia yang berpacaran secara terbuka lalu menceritakan hal-hal dosa 2 manusia tersebut tanpa hak. Ini bukanlah maksud kebenaran. Kebenaran tidak menuntut kita menceritakan dosa manusia lain tanpa hak atau sebab-sebab yang dibenarkan. Kebenaran atau hak itu menyanggahi kebatilan dan dosa. Kebenaran itu selari dengan nilai moral atau manusiawi dari sudut pandang agama dan masyarakat.

Perkara ini perlu diubah. Manusia perlu berubah. Teguran buat para da’ie harus menjadi asas dalam perlakuan sehari-hari. Masyarakat yang harmoni dapat menerima baik buruk individu lain. Seperti kehidupan suami isteri, baik buruk keduanya tidak boleh lari. Persoalannya berbalik kepada cara mengurus kekurangan pihak lain.

Dunia perlu kepada teguran membina dan lebih ramai manusia yang mempunyai nilai moral yang tinggi. Kita tidak perlu memanjangkan urusan peribadi dan membuka pekung orang lain. Cukuplah sekadar teguran ringkas dan berterusan.

Hanyasanya Allah jualah yang menilai kerja buat serta usaha kita.

No comments:

Post a Comment