Wednesday, October 28, 2015

Catatan Perjalanan Mans-Cairo-Mans

Ini merupakan post pertama aku dalam blog ini. Sejujurnya, aku tidaklah tetapkan tema khas bagi penulisan dalam blog ini, tapi aku suka sekiranya dicatatkan beberapa perkara penting berkaitan pandangan dan pengalaman hidup aku yang sedikit. Sedikit sebanyak pengenalan mengenai diri aku, kini sedang menyambung pengajian MBBCh kedoktoran di Mansoura University, Mesir. Seperti nama blog ini, Blog-tor, ia merupakan gabungan dua nama, Blogger-Doktor (kalau nanti ditukar, biarlah nama ini kekal sebagai nama pertama yang aku pilih untuk blog ini). Cara penulisan pula aku lagi gemar menulis bahasa yang standard, ala-ala skema begitu. Dah kalau bukan kita yang martabatkan bahasa sendiri, siapa lagi?

Jadi, untuk entri pertama, aku tuliskan beberapa catatan baru dalam kehidupan aku sepanjang berada di Cairo. Kalau dibandingkan kehidupan di Cairo dan Mansoura, boleh aku katakan sangat jauh bezanya. Di Mansoura, kau tak perlu berpagi-pagi menaiki bas untuk ke kuliah, namun di Cairo, bas atau tremco itu rutin. 

Oh, tremco ni kenderaan yang bentuknya seperti van. Pelajar-pelajar melayu sahaja yang panggil tremco, kalau orang-orang Arab panggil van ini sebagai 'mini-jet' sebab perkataan van itu sangat asing dalam bahasa arab (mereka tak boleh sebut 'V').  Sejarah penggunaan nama tremco ini pun menarik juga. Kalau nak diceritakan sejarahnya, mungkin dalam entri yang lain.

26/10/2015 (Isnin)
Aku dan seorang lagi kawan aku bergerak menaiki bas dari el-Utubis Dauli, bahagian lain kota Mansoura. Sesampai di kaunter tiket, ammu (pakcik) yang jaga kaunter kata tiada tiket. Dia suruh kami berlari masuk ke stesen bas. Aku terpinga-pinga sebab ini kali kedua aku menaiki bas ke Cairo. Kali pertama pada awal tahun 2015, ada tiket yang dikeluarkan. Tetapi kali ini, tiket bas kami beli selepas 'onboard'. Harga semasa kejadian, LE25 per orang. Alhamdulillah, kami tak terlepas bas dan terus menuju ke Cairo pada pukul 7 malam.

Kami sampai di Cairo tepat jam 8.45 malam. Sememangnya jumlah penduduk sangat padat di sini. Kata senior, sebab kawasan Cairo ini berpenduduk padat, tak hairanlah suasana di Cairo seperti India. Kami turun di tepi jalan, sedikit jauh daripada Dataran Ramsis. Dari situ, kami bergerak ke Dataran Ramsis, tempat di mana semua tremco ke pelbagai seksyen (hayyu) di Cairo berkumpul. Berbanding awal tahun 2015, suasana di Dataran Ramsis agak sesak daripada akhir tahun ini. Kali pertama aku ke sini, masih terdapat penjaja yang menggunakan hampir 75% dataran itu untuk berniaga. Tapi sekarang, dataran itu lebih lapang tanpa kewujudan penjaja. 

Beberapa teknik untuk berebut tremco ialah dengan menggunakan isyarat tangan. Dalam kes aku, kami nak bergerak dari Ramsis ke Hayyu Sabie (Seksyen 7). Sebaik mendengar pemandu tremco menjerit "sabie', sabie' sabie'", biarpun dari jauh, kau dah angkat tinggi-tinggi tangan dan tunjuk tanda 'peace' (seperti bentuk no. 7 dalam bahasa Arab). Kalau pemandu tu sedar, dia akan 'reserve' tempat untuk kita. Ada beberapa lagi bahasa isyarat yang lain, mengikut tempat yang nak dituju.

Kami menaiki tremco dari Ramsis ke Hayyu Sabie' dan berhenti di depan Abo Ramy (nama kedai shawarma). Di kawasan kami berhenti itu, juga dipanggil akhir Sabie'. Untuk satu malam, kami bermalam di rumah kawan yang hanya beberapa langkah di belakang Abo Ramy. Untuk makan malam, kami makan di Mat'am Kababji el-Masri. Dengan bajet LE13, kami dapat sepinggan nasi, 1/4 ayam, 2 keping roti 'aish baladi dan sepinggan acar arab. Itupun aku tak habis makan nasi

27/10/2015 (Selasa)
Seawal 4.45 pagi, masuk waktu subuh. Di Mesir, kita tak perlu jauh-jauh pergi ke masjid kerana hampir kesemua masjid dibina berdekatan antara satu sama lain. Cumanya berbalik kepada diri kita sendiri, hendak solat di masjid atau tidak. Pukul 7.15, kami keluar rumah untuk pergi ke Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah (DMAK) di 'Abbasiyah. Untuk pergi ke sana, kami menaiki bas warna merah 24ج. Selain bas 24ج, ada juga bas 926 yang melalui 'Abbasiyah dan satu bas swasta (warna biru) bernombor 1010. Tetapi bas biru hanya melalui awal Sabie' sahaja. Bas berwarna biru selalunya berharga LE2 berbanding bas merah yang tambangnya cuma LE1 sekali perjalanan.

Kami menaiki bas itu melalui kuliah ulum dan kuliah perubatan. Juga melalui hadapan astaka di mana Anwar Saddat ditembak mati ketika perarakan ketenteraan 6 Oktober 1981. Akhirnya, kami turun di hadapan kedai tilam Taki dan berjalan terus sehingga berjumpa dengan bangunan DMAK. Antara banyak-banyak bangunan di situ, DMAK antara bangunan yang paling lawa. Kami sampai awal di DMAK, lebih kurang pukul 8.30 pagi. Kami buat appointment dengan Ust Imran Ibrahim, SU2 Education Malaysia Egypt pada pukul 10 pagi. Sementara itu, kami tunggu di Cafe Anjung DMAK. Aku rasa, sambal nasi lemak di Cafe Anjung antara yang terbaik di Mesir.

Urusan waktu dengan Ust Imran bermula pukul 10 pagi. Waktu pejabat EME bermula pukul 8.30 pagi sehingga 3 petang. Untuk urusan bersama pelajar hanya ditetapkan pada hari Isnin dan Selasa sahaja. Kalaupun hendak datang selain hari Isnin dan Selasa, kena buat appointment dengan pihak berkenaan dahulu. Untuk urusan dengan pejabat, pastikan siap segala dokumen yang perlu untuk difotostat. Kalau nak mencari maktabah, kena keluar dari persimpangan Taki, belok ke kanan dan maktabah terdekat selepas Madrasah Mustafa Kamal. Hampir 800 m daripada bangunan DMAK. Kalau jumpa bangunan Air Force Polyclinic, itu maksudnya kau dah terlajak lah. 

Selesai urusan dengan Ust Imran kira-kira pukul 2 petang, kami terus bergerak pulang menaiki bas yang sama menuju ke akhir Sabie'. Bertentangan kedai tilam Taki itu ada persimpangan di mana tremco dan bas selalu melalui kawasan itu. Yang penting isyarat tangan.

Sebelum pulang ke Mansoura, kami dijamu di rumah kawan di Hayyu Sabie' dan sempat membeli fatirah cuklatah (fatirah inti coklat) di kedai bernama Qayubi (sebaris Abo Ramy). Fatirah ini makanan arab, lebih kurang seperti roti canai, tambahannya adalah inti coklat. Kami bergerak ke Ramsis lewat pukul 5 petang. Tiba di Ramsis, sudah azan maghrib. Awalnya ingin menaiki kereta api ke Mansoura tetapi hanya ada kereta api yang tiada 'air-cond'. Kemudian, tukar plan - nak naik bas atau tremco. Sebetulnya, kami tak tahu arah tujuan ke tempat tremco atau bas (haha). Cuma tanya pemandu tremco ke Iskandariah, Tanta dan Mahallah "fein tremco ilal mansoura?" nanti semuanya tunjuk ke mana arahnya. Akhirnya jumpa tremco ke Mansoura. 5 minit selepas pemandu tremco mengumumkan akan bergerak ke Mansoura, terus penuh tremco kami. Tak sangka, hari Selasa pun masih ramai yang nak pergi ke Mansoura. 

Kalau ikut ranking pilihan budak melayu di Mesir, 'mode of transportation' yang paling seronok ialah kereta api 'air-conditioned', diikuti oleh bas, tremco dan akhir sekali kereta api mish mikyaf (non-air conditioned). Namun, hal ini bergantung kepada nilai tambang transport masing-masing. Keretapi mikyaf, LE25 (2nd class); bas, LE22-25; tremco, LE17; keretapi mish mikyaf, LE3-7. Selalunya, tremco merupakan transport yang paling laju. Kalau tempoh biasa perjalanan Cairo-Mansoura 3 jam, dengan tremco hanya 2 jam sahaja. 

Tremco yang kami naik ini sangat tidak ergonomik. Alas kerusi di bahagian pinggang keras hingga terasa rangka besi. Sepanjang 2 jam perjalanan, itu lah 2 jam yang paling tidak selesa. Sekejap-sekejap aku ubah posisi, ke kanan dan ke kiri. Tiba masa untuk bayar tambang, semua penumpang tiada duit kecil. Pastu ada syeikh seorang bergaduh dengan pemandu tremco. Kami, dua orang budak Malaysia senyap, tak faham butir perbualan mereka. 

Alhamdulillah, jam 8 malam kami tiba di Istad el-Mansoura. Kami turun di situ dan ambil tremco ke Tir'ah. Sebenarnya, tremco yang kami naik dari Cairo itu sudah melalui jalan menghala ke Tir'ah (landmark Sun Mall). Tapi kami tak yakin dengan sense of direction kami, jadi kami terus sahaja melalui Murur dan akhirnya tiba di Istad el-Mansoura. Naik tremco ke Tir'ah pula membuktikan sense of direction kami betul. Kami berpatah balik ke Sun Mall dan menuju ke Tir'ah. 

Rugi 75 qursy kami untuk tremco dari Istad el-Mansoura. 


p/s: Kalau ada siapa-siapa yang ada tambahan pengalaman berkaitan Cairo, boleh lah kongsi di ruangan komen. Nak tahu juga pengalaman manis, masam, pahit orang lain.